fb fb fb fb fb

Pemimpin tertinggi PAS hadir mesyuarat, bakal muktamadkan beberapa keputusan

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- PAS belum membuat sebarang keputusan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri yang dikuasai setakat ini.

Malah beberapa pemimpin tertinggi PAS yang menghadiri mesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja Laut enggan mengulas lanjut mengenai tujuan mesyuarat diadakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dilihat tiba di pejabat tersebut pada pukul 9:20 pagi tadi.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad)

Ini diikuti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang kemudian memasuki bangunan tersebut.

Kedua-duanya enggan mengulas mengenai tujuan kehadiran mereka.


(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)

Ini disusuli kehadiran Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada pukul 10:00 pagi.

Ditanya mengenai intipati mesyuarat, katanya ia bertujuan memuktamadkan semula beberapa keputusan dan pendirian parti.

Kenyataan tentang keputusan akhir mesyuarat akan dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.


(Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar)

Media Baharu