fb fb fb fb fb

Pembesaran terminal Westports bakal wujudkan 6,000 peluang pekerjaan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Penswastaan Pelabuhan Barat di Putrajaya / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 8 Disember - Pembesaran terminal Westport dengan nilai pelaburan lebih RM39 bilion berupaya meningkatkan kapasitinya sehingga 27 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) berdasarkan unjuran sehingga 2082.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek mega yang akan dibangunkan dalam tempoh 58 tahun itu turut akan mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan sepenuh masa.

"Pembangunan yang sedang dilakukan hari ini, termasuk pembesaran terminal kontena dan penggunaan teknologi hijau, adalah langkah proaktif untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan yang canggih dan lestari.

"Saya percaya bahawa inovasi dan pembaharuan berterusan adalah penting untuk menjaga daya saing dan keunggulan Pelabuhan Klang di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian tambahan ketiga penswastaan pelabuhan barat di antara kerajaan Malaysia, Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dan Westports Malaysia Sdn Bhd, di sini.

Tambah Loke, menerusi pelanjutan konsesi baharu itu juga mampu memberi impak kepada ekonomi negara sebanyak RM55 billion sekaligus menyumbang kepada kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM19 billion.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN