IPOH, 8 Disember - Hanya dua aduan diterima berhubung aktiviti perlombongan bijih timah di Perak setakat November tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata aduan membabitkan kerja letupan di lombong bijih timah dan pencemaran sungai akibat sisa perlombongan.
Beliau berkata, sebarang aktiviti perlombongan bijih timah di Perak perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri bagi mengelakkan kesan kepada ekosistem alam sekitar.
"Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut menjalankan pemeriksaan secara berkala dalam memastikan lombong-lombong beroperasi dengan teratur dan mematuhi skim pengendalian melombong yang diluluskan di bawah peraturan-peraturan pembangunan mineral," katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Tambah Teh, setakat ini, 13 lombong bijih timah yang beroperasi di negeri itu telah diberikan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong.