fb fb fb fb fb

PEMBAWA cadang kerajaan beri subsidi penuh diesel kepada pengusaha bas ekspres

Laili Ismail

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) mencadangkan agar kerajaan dapat memberikan kuota penuh diesel kepada pengusaha bas ekspres di seluruh negara.

Menurut Yang Di Pertua PEMBAWA Laili Ismail, perkara itu bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung pengusaha bas ketika ini.

"PEMBAWA mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan atas peruntukan kuota subsidi tersebut namun ianya masih tidak mencukupi terutamanya bagi pengusaha yang beroperasi dengan skala yang besar.

"...PEMBAWA ingin memohon agar pihak kerajaan mempertimbangkan untuk memberi kuota subsidi penuh berdasarkan penggunaan sebenar diesel bagi sesebuah bas," katanya dalam sidang media Kenaikan Harga Diesel, PEMBAWA di ibu negara.

Beliau menjelaskan pelaksanaan cadangan itu dilihat dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung pengusaha sekali gus menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam bas ekspres khususnya kepada rakyat Malaysia.

Pengusaha bas ekspres disenaraikan sebagai penerima subsidi diesel dengan kuota terkini yang dibenarkan sebanyak 6,000 liter sebulan untuk sebuah bas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI