Pembatalan ujian diagnostik Tahun Satu wajar, tepat

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Januari – Keputusan kerajaan untuk membatalkan cadangan pelaksanaan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak yang bakal memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun disifatkan sebagai langkah yang wajar dan tepat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembatalan ujian diagnostik bagi murid enam tahun dianggap wajar dan tepat oleh pihak pendidikan inklusif.
  • Pendidikan sekolah kerajaan perlu inklusif tanpa saringan awal yang menghalang hak kanak-kanak belajar.
  • Keputusan itu mengurangkan tekanan psikologi awal dan menyokong peralihan ke sekolah dalam suasana positif.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata dalam konteks pendidikan awam, pelaksanaan ujian saringan tidak diperlukan dan bertentangan dengan prinsip asas pendidikan sebagai hak setiap kanak-kanak.

“Keputusan kerajaan untuk membatalkan cadangan ujian diagnostik kepada kanak-kanak yang akan masuk ke Tahun Satu pada usia enam tahun adalah satu keputusan yang wajar, tepat dan itulah yang diperlukan sebenarnya.

“Sebenarnya apabila kita bercakap soal pendidikan awam ataupun sekolah awam, kita sebenarnya tidak memerlukan satu ujian saringan untuk anak-anak masuk dan belajar di sekolah-sekolah tersebut.

“Ini kerana itu akan menyebabkan kita melanggar prinsip pendidikan awam yang menjadi hak kepada setiap anak-anak yang berumur pada usia enam tahun untuk masuk dan belajar di sekolah kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, pendidikan di sekolah kerajaan seharusnya bersifat inklusif tanpa sebarang halangan awal yang boleh menjejaskan peluang pembelajaran kanak-kanak.

Selain itu, keputusan membatalkan ujian diagnostik itu juga dilihat mampu mengelakkan tekanan psikologi terhadap kanak-kanak yang masih berada pada peringkat awal perkembangan, sekali gus memastikan proses peralihan ke alam persekolahan berlangsung dalam suasana yang lebih positif.

Dr. Anuar turut berharap usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh sistem pendidikan negara dapat diteruskan bagi meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh menjelang tahun 2027.