KUALA LUMPUR, 25 April – Pembangunan Kuala Lumpur perlu seimbang antara kemodenan dan pemeliharaan warisan budaya agar kekal unik sebagai ibu negara Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemuliharaan warisan di bandar raya ini bukan sekadar menjadi tarikan pelancongan, sebaliknya merupakan lambang identiti nasional yang perlu dipertahankan.
“Kalau benar kita serius untuk kekalkan identiti Kuala Lumpur supaya KL unik, keunikan itu bukan kerana bangunan Menara Berkembar saja tetapi identitinya – moden, berteknologi tinggi dan bergerak mengikut tuntutan zaman, tetapi ada kelainan kerana pertahankan sejarah, budaya, nilai dan kepelbagaian yang berakar umbi di Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata, pendekatan itu penting dalam memastikan pembangunan bandar raya ini tidak mengabaikan jati diri rakyat serta warisan yang membentuk Kuala Lumpur sejak dahulu.
“Kita tidak mahu Kuala Lumpur ini hanya dikenali dengan gedung-gedung besar semata-mata, tetapi juga sebagai sebuah bandar raya yang kaya dengan nilai budaya dan sejarahnya sendiri,” katanya.
Program Warisan KL merupakan inisiatif bagi memperkukuh identiti Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu kota yang seimbang antara kemajuan fizikal dan kelestarian warisan, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI.
Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.