fb fb fb fb fb

Pemasangan SPEGKOM beri kelegaan penduduk, elak ancaman gajah liar

Foto hiasan

GUA MUSANG, 25 April- Lebih 3,000 penduduk di lima buah kampung dan ladang di sini menarik nafas lega setelah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan memasang Sistem Pagar Elektrik Gajah Komuniti (SPEGKOM) di kawasan Ladang Subong bagi menangani pencerobohan gajah liar.

Pembinaan sistem pagar elektrik berkenaan dapat menyelesaikan kerugian ratusan ribu ringgit tanaman ladang serta kebun yang kerap dirosakkan gajah sejak empat tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut kira-kira tujuh ekor gajah liar telah ditangkap dan dipindahkan dari kawasan berkenaan.

Pekebun Ismail Awang Hamad berkata, dengan pemasangan pagar tersebut ia memberi kelegaan kepada semua pekebun dan penduduk sekitar.

"Jadi untuk jangka masa panjang pihak PERHILITAN telah memasang pagar untuk 'abang besar' ini. Insya-Allah tiada lagi gangguan dan kemusnahan.

"Kalau dikira kerugian sejak dulu mungkin cecah ratusan ribu. Pokok-pokok habis rosak,sekarang ni alhamdulillahlah. Kami lega," katanya.

Bagi Zahari Daud pula, tanpa pemasangan pagar berkenaan kemungkinan kawasan kebun dan penduduk akan terus diganggu.

"Dengan pemasangan pagar gajah ini, saya sebagai penduduk lega dan berterima kasih kepada semua pihak. Kalau nak harapkan kepada orang kampung pasang pagar memang susah. Tetapi adanya bantuan daripada PERHILITAN syukur sangat," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kos sebanyak RM50,000 diperuntukkan PERHILITAN bagi memasang SPEGKOM sepanjang 1.6 kilometer di Ladang Subong.

"Pagar ini disumbangkan PERHILITAN dan kita harap gangguan hidupan liar dapat dikurangkan dan penduduk diminta supaya pekebun berhati-hati berikutan pagar ini mempunyai voltan tinggi. Kita harap semua pihak mengambil tahap keselamatan tertinggi," katanya.

SPEGKOM merupakan projek komuniti yang pertama di Kelantan memanfaatkan lebih 3,500 penduduk kampung yang tinggal di beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Subong, Kampung Sungai Terah, Kampung Awek dan Kampung Kundur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI