KUALA LUMPUR, 10 Julai - Tidak perlu wujud kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hukuman gantung di negara ini masih lagi wujud memandangkan kerajaan hanya memansuhkan hukuman mati mandatori.
"Tiada kebimbangan, hukuman gantung masih ada tetapi ia tidak diputuskan secara automatik ia harus didengar oleh hakim dan saya rasa ia lebih adil," katanya selepas menyampaikan Ucaptama di Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023, di sini, hari ini.
Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) telah dikuat kuasa, bermula 4 Julai lalu.
Pada 3 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang antara lain bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.
Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.