IPOH, 2 Januari- Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan kandungnya, antara tahun 2021 dan 2022.
Bagaimanapun tertuduh 54 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual terhadap anak bongsunya yang ketika itu berusia 16 tahun pada hujung tahun 2021.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 9.30 malam dan pukul 2 pagi di sebuah rumah di Taman Chemor Perdana, di Ipoh.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun di sebuah rumah, sekitar pukul 6 pagi pada 7 Oktober 2022.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan bagi maksud seksual terhadap mangsa di sebuah rumah, sekitar pukul 9.30 malam pada penghujung 2022.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat
Tertuduh juga hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Quraatu’ain Khalifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes.