TAPAH, 9 Januari- Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 314.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.
Mangsa, 44, ditemukan dalam keadaan tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 5.40 pagi.
"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dengan pemandu lori disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu treler berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.