fb fb fb fb fb

Pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup tidak diwajibkan

(Khairy Jamaluddin pada sidang media di ibu negara)

KUALA LUMPUR, 7 September- Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan tempat tertutup kini tidak lagi diwajibkan namun digalakkan memakai atas pilihan individu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan keputusan itu berkuat kuasa hari ini berdasarkan penilaian situasi semasa COVID-19 serta mengambil kira keperluan semasa.

Bagaimanapun Khairy menjelaskan individu yang positif COVID-19 yang perlu ke pusat penilaian (CAC) masih wajib memakai pelitup muka selain mereka yang berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan pusat-pusat kesihatan.

"Terdapat tempat dan situasi yang masih mewajibkan pemakaian pelitup muka termasuk semasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas,kereta api, perkhidmatan e-hailing, kapal terbang, van pekerja serta van sekolah," katanya pada sidang media pengumuman semakan semula keperluan pemakaian pelitup muka di ibu negara.

KKM juga menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutama apabila berada di kawasan orang ramai yang sesak.

"Kita menggalakkan pemakaian pelitup muka seperti ketika berada di pasar malam, stadium, pusat beli-belah dan rumah ibadah.

"Individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga tua, pesakit kronik selain individu dengan imuniti rendah juga ibu mengandung serta kanak-kanak turut digalakkan terus mengamalkan pemakaian pelitup muka," katanya.

Mengulas berhubung keperluan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka, Khairy menambah, ia adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu tidak diwajibkan.

Tambahnya, pemilik premis boleh menetapkan pemakaian pelitup muka sama ada mewajibkannya atau menjadikannya pilihan kepada pelanggan.

KKM akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan terbaik.

Khairy menasihatkan dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam menghadapi COVID-19, kelonggaran yang diberikan bukanlah bermakna orang ramai boleh memandang ringan risiko jangkitan.

"Dengan kelonggaran ini juga, orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti.

"Kementerian Kesihatan percaya orang ramai masih akan terus mengamalkan kawalan kendiri yang terbaik, bagi mengelak dijangkiti penyakit berjangkit termasuk COVID-19 seperti yang diamalkan pada masa ini," katanya.

Sejak 1 Mei 2022, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.


(Berhubung keperluan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka,
Khairy menambah,ia adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu tidak diwajibkan)

"Sepanjang fasa peralihan ke endemik ini, semua sektor ekonomi dan aktiviti sosial telah dibenarkan manakala pintu masuk sempadan juga telah dibuka.

"Walaupun banyak SOP telah dilonggarkan sepanjang tempoh ini, pemahaman orang ramai untuk sentiasa menitik beratkan penjagaan kesihatan kendiri membolehkan proses peralihan ini berjalan dengan lancar.

"Hasilnya, negara telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku kedua tahun ini menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.9 peratus.

"Mengambil kira situasi COVID-19 di Malaysia yang bertambah baik pada ketika ini, KKM telah meneliti dan menyemak beberapa prosedur pencegahan penularan jangkitan COVID-19 yang boleh dilonggarkan demi keselesaan rakyat, tetapi pada masa yang sama perlu memastikan kesihatan dan keselamatan orang ramai terus terjaga.

"Antara prosedur yang disemak adalah protokol pemakaian pelitup muka.," katanya.

Media Baharu