PUTRAJAYA, 20 November- Pendidikan dalam kepakaran automotif perlu dititik berat bagi meningkatkan pendapatan serta kebolehpasaran pelajar lepasan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ini kerana peluang bidang transmisi dan kotak gear di negara ini sangat besar memandangkan majoriti pengguna masih menggunakan kenderaan automatik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JV Auto Lube, Muhammad Razali, ketika ini Malaysia mempunyai peluang yang sangat besar namun, kepakaran masih belum mencukupi.
"Bidang ini kalau di Malaysia, kepakaran sangat sedikit, tetapi peluang sangat besar, sebab itu kita begitu serius menyediakan pendidikan, buat kelas, latihan, dan dapatkan penganugerahan untuk memberi keyakinan.
"Keyakinan yang dimaksudkan, kepada pengguna, kepada pengajar TVET dan pelajar lepasan TVET,"katanya.
Jelasnya, latihan bukan sahaja diberi kepada pelajar, malah tenaga pengajar TVET, usahawan serta pemilik bengkel.
Terdahulu, JV Auto Lube menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan di Anugerah Automotif Asia 2023.
JV Auto Lube mula menjadi tenaga pengajar serta memberi latihan dalam bidang ini sejak empat tahun lalu, dengan kolaborasi bersama agensi kerajaan, politeknik dan kolej vokasional.