fb fb fb fb fb

Pelantikan Pengerusi JKKR, JPKK Felda masih di peringkat kajian

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/FB Wan Rosdy Wan Ismail

JERANTUT, 19 Januari- Kerajaan Pahang belum memutuskan untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi kawasan Felda yang sudah diberikan geran hak milik tanah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara tersebut sedang dalam peringkat kajian bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan hal berkenaan.

"Sebab kita hendak mengurus dengan baik, kalau banyak sangat atau dua kepala ia menjadi sukar hendak mengurus, satu lebih baik daripada dua", katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Felda dan Suratan Hak Milik Felda Jengka 24 serta Felcra Bukit Nikmat di Felda Jengka 24, Jerantut, Pahang.

Dalam program tersebut, seramai 1,838 orang peserta menerima STR Generasi Baharu Felda, manakala 292 peserta Felda Jengka 24 dan 159 peserta Felcra Bukit Nikmat menerima Suratan Hak Milik Felda.

Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata, program yang diadakan amat positif dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemberian hak milik tanah Felda pula akan diselesaikan segera. Sehingga kini, hanya lima peratus sahaja daripada lebih 43,000 peneroka Felda di Pahang belum menerima suratan hak milik.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, Felda Jengka 24 mencatat sejarah sebagai Felda terakhir menerima surat hak milik tanah yang melengkapi 37 rancangan Felda Wilayah Jengka. 

"Felda Jengka 24 merupakan Felda yang terakhir menerima geran daripada 37 buah rancangan di Wilayah Jengka", katanya.

Bagi peneroka Salbiah Sulong pula, dia berasa gembira dan  bersyukur kerana dapat memiliki surat hak milik tanah yang menjadi aset keluarga.

Katanya, kesudian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy meluangkan masa untuk menyampaikan surat hak milik tanah menjadi kenangan kepada warga Felda Jengka 24.

"Sangat gembira hari ini, terima kasih Menteri Besar", katanya.

ROSLINA BINTI DIN