KUALA LUMPUR, 21 Disember- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan kemudahan pengecualian visa kepada warganegara India sehingga 31 Disember 2026 bertujuan meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan negara.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban, pihaknya akan mempertingkat aspek kawalan dan penguatkuasaan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif itu.
Beliau berkata, sebelum ini, kemudahan pengecualian visa itu dilaksana bermula 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024 bawah Program Liberalisasi Visa.
Sepanjang tempoh 1 Disember 2023 - 1 Disember 2024, inisiatif kemudahan itu telah meningkatkan jumlah kemasukan pelawat India sebanyak 223 peratus iaitu 916,821.
Kemasukan pelancongan bukan sahaja akan menjana pendapatan malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
Tambahnya lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan sedia ada dan terus komited dalam melaksanakan usaha berterusan bagi menambahbaik kelancaran pergerakan keluar masuk negara dan secara tidak langsung dapat menyokong industri pelancongan negara.