Pelan asas kesihatan dilancar, fokus perlindungan dan pilihan rawatan

Sidang media Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Pelan asas kesihatan yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) akan diterbitkan dalam bentuk Kertas Putih bagi menjelaskan falsafah reka bentuk pelan standard berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan asas sukarela memberi perlindungan kewangan asas dan pilihan tempat rawatan di sektor swasta.
  • Fokus pada rawatan penyakit biasa untuk mengekalkan premium mampu milik dan kawalan kos.
  • Ujian dijangka separuh kedua 2026, pelaksanaan awal 2027, pemegang polisi sedia ada boleh beralih tanpa pemeriksaan.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Datuk Seri Amir Hamzah, pelan asas kesihatan itu merupakan pilihan secara sukarela kepada individu yang berkemampuan dan ingin mendapatkan perlindungan kesihatan swasta.

Beliau menegaskan sistem kesihatan awam kerajaan kekal sebagai asas utama, dengan peruntukan rekod sebanyak RM46.5 bilion disediakan dalam Belanjawan 2026.

“Pelan asas ini direka dengan tiga objektif utama, memberikan perlindungan kewangan asas, melengkapkan sistem kesihatan awam dengan memberi kebebasan memilih tempat rawatan, dan memacu hasil kesihatan berasaskan nilai dengan pengurusan kos yang berdisiplin,” katanya dalam sidang media hari ini.

Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan pelan asas berkenaan tidak menanggung semua kos perubatan, sebaliknya menumpukan kepada rawatan serta penyakit biasa bagi memastikan premium kekal mampu milik dan membolehkan operator menawarkan produk yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, ujian pengguna menunjukkan 87 peratus responden menganggap pelan itu bermakna dan menarik, dengan beberapa penambahbaikan dibuat berdasarkan maklum balas diterima.

Menurut beliau, pelan asas berkenaan dijangka diuji pada separuh kedua 2026 sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada awal 2027, selaras dengan tamatnya langkah sementara oleh Bank Negara Malaysia.

Pemegang polisi sedia ada boleh beralih kepada pelan asas tanpa perlu menjalani pemeriksaan perubatan tambahan, sekali gus membantu mengawal kesan terhadap pasaran insurans.

Selain itu, Kementerian Kewangan memberi tumpuan kepada inisiatif komuniti dengan membenarkan hospital swasta menubuhkan dana kebajikan bebas cukai bagi membantu pesakit kurang berkemampuan.

Langkah itu membolehkan pelaksanaan program seperti IHH Life Renewal Program yang telah membantu lebih 2,000 pesakit mendapatkan pembedahan kritikal.

Kerjasama dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2026, dengan sasaran penyertaan semua hospital swasta utama.

Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan pelan asas kesihatan itu hanyalah permulaan kepada usaha transformasi sistem kesihatan yang lebih holistik, fleksibel dan berupaya memberi manfaat kepada rakyat secara lebih meluas.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, serta Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.