
PETALING JAYA, 26 Januari – Kementerian Sumber Manusia menyasarkan pelaksanaan penuh Akta Pekerja Gig dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada penghujung Mac 2026 bagi memperkukuh perlindungan pekerja gig di negara ini.
- Pelaksanaan penuh Akta Pekerja Gig disasarkan dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung Mac 2026.
- Penubuhan Majlis Perundingan Gig dan tribunal khas disiapkan untuk urus aduan serta kebajikan pekerja gig.
- Grab setuju tingkatkan caruman perlindungan sosial kepada 15 peratus untuk rakan penghantar dan pemandu e-hailing.
- Kawalselia pendapatan menetapkan pembayaran gaji dalam tujuh hari, dengan rujukan gaji minimum RM1,700 untuk kestabilan ekosistem gig.
Bagi menyokong pelaksanaan akta berkenaan, infrastruktur sokongan termasuk penubuhan Majlis Perundingan Gig dan tribunal khas sedang disiapkan bagi menyelaras pengurusan aduan serta kebajikan pekerja gig secara lebih berkesan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, berkata hasil perbincangan bersama pengurusan Grab, syarikat itu bersetuju meningkatkan kadar caruman perlindungan sosial kepada 15 peratus bagi semua rakan penghantar dan pemandu e-hailing di bawah platform berkenaan.
“Peningkatan caruman ini merupakan lonjakan besar berbanding hanya 10 peratus sebelum ini, sekali gus menjamin perlindungan sosial menerusi PERKESO sekiranya berlaku sebarang kemalangan tidak diingini”, ujar beliau.
Selain perlindungan sosial, beliau memaklumkan seramai 5,000 pekerja Grab akan menerima latihan peningkatan kemahiran tahun ini bagi membantu meningkatkan keupayaan diri serta taraf hidup mereka pada masa hadapan.
Kementerian melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) turut komited menyediakan pembiayaan tambahan bagi melatih 5,000 lagi pekerja gig yang ingin meningkatkan kemahiran teknikal mereka.
Mengenai kawal selia pendapatan, beliau berkata kerajaan memberi jaminan bahawa pembayaran gaji pekerja gig mesti diselesaikan dalam tempoh tujuh hari seperti yang akan ditetapkan di bawah Akta Pekerja Gig.
Beliau berkata walaupun gaji minimum RM1,700 dijadikan dasar rujukan, kawal selia harga lantai perlu dilaksanakan secara seimbang bagi memastikan kelestarian operasi syarikat serta mengekalkan peluang pekerjaan.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan tekanan kos melampau kepada majikan yang boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan, sekali gus memastikan ekosistem ekonomi gig kekal stabil dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kampus Rakan Grab di Petaling Jaya.
Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang diwartakan pada 31 Disember lalu dijangka melindungi kira-kira 1.2 juta pekerja gig melalui pengiktirafan undang-undang, jaminan keselamatan sosial serta penubuhan Tribunal Pekerja Gig.