fb fb fb fb fb

Pelakon veteran Kamal Bakar meninggal dunia

Foto Facebook Hanis Kamal

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Pelakon veteran Kamal Bakar meninggal dunia pukul 1.00 pagi tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.

Berita pemergian pelakon berusia 62 tahun itu dimaklumkan anaknya yang juga pelakon, Hanis Kamal.

"Assalamualaikum semua, dimaklumkan bahawa ayah saya Kamaruldzaman bin bBakar ( Kamal Bakar) telah meninggal dunia sebentar tadi. Mohon jasa baik semua untuk sedekah kan surah Al Fatihah buat ayah saya," katanya.

Hanis menerusi hantaran facebook memberitahu jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru Melaka.

"Jam 11.30 pagi jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit baru Melaka untuk urusan mandi dan kafan. Solat jenazah lepas Zohor dan Dikebumikan lepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru Melaka."

Sabtu lalu, Hanis memaklumkan, bapanya dalam keadaan nazak selepas dua minggu dirawat di ICU,Hospital Melaka akibat kanser paru-paru tahap empat.

Bapanya sekali lagi dijangkiti kuman pada paru-paru dan dimaklumkan oleh doktor supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sarina Shariff, 56 dan lima cahaya mata.

Kamal memulakan kerjaya lakonan sejak era 1970-an dengan membintangi banyak drama dan filem seperti Andai Itu Takdirnya, Orang Minyak, Suami Aku Ustaz, Pendekar dan Ratu Ten Pin.

TETITIA YUSOFF