JOHOR BAHRU, 4 Disember - Seorang pelajar dari China yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru maut, selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan lori di susur kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Pontian, pada pukul 10.45 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, ketika kejadian, motosikal mangsa cuba memotong sebuah lori dari bahagian kiri, semasa menuju arah UTM.
Namun, motosikal mangsa telah bergesel dengan tayar belakang kiri lori terlibat.
Mangsa berumur 19 tahun cedera di tangan dan bahagian dalaman, disahkan meninggal dunia di lokasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
