fb fb fb fb fb

UPM anjur program Kakehashi, teroka budaya dan pemakanan Jepun

FOTO UPM

SERDANG, 29 Oktober- Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kelab Foodnatic dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah menganjurkan program Kakehashi: Pertukaran Budaya Jepun untuk meneroka budaya dan inovasi makanan di Universiti Metropolitan Osaka (OMU), Jepun, baru-baru ini.

Program itu bertujuan mendalami budaya dan nilai-nilai kemanusiaan melalui khidmat sukarelawan dan pertukaran ilmu. Ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman langsung dalam bidang pemakanan dan kesukarelawanan bagi memupuk kesedaran sosial.

Ketua program, Lee Si Jie berkata lawatan tersebut membolehkan peserta mempelajari teknologi makanan Jepun serta memerhati operasi kafeteria universiti, sekali gus meningkatkan pemahaman mereka dalam aspek pemakanan dan kesihatan.

"Program ini memberi kami kefahaman tentang nilai-nilai masyarakat Jepun seperti ketepatan masa, inovasi, dan sikap prihatin dalam memenuhi keperluan komuniti," katanya.

Jie menambah bahawa pendidikan berkualiti dan kesedaran tentang diet seimbang yang dipupuk sejak sekolah rendah hingga menengah di Malaysia dapat mempengaruhi generasi akan datang untuk membuat pilihan bijak dalam aspek saiz hidangan, kualiti dan keseimbangan makanan.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti (Kepujian), Lo Pei Yee berkata bahawa melalui program ini, mereka dapat meneroka budaya Jepun secara langsung.

“Kami bertukar pengetahuan mengenai inovasi makanan berasaskan tumbuhan serta membincangkan cara meningkatkan rasa dan nilai pemakanan nasi sebagai makanan ruji.

"Saya juga berpeluang mempelajari teknologi biosensor pendaflour yang digunakan untuk menilai kualiti buah-buahan dan sayur-sayuran, yang membantu mengesan kerosakan atau pencemaran bagi menjamin kualiti makanan," katanya.

Menurut Yee, sistem pendidikan Jepun hampir sama dengan Malaysia daripada segi memupuk pemikiran kritis dan menggalakkan keterbukaan untuk meneroka pelbagai kemungkinan, yang menjadi elemen penting dalam pembangunan pelajar.

2910 KENYATAAN UPM
FOTO UPM

SITI AISHAH MD ISA