
KUALA TERENGGANU, 1 Mac– Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) giat bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan setiap sekolah bersedia mendepani sebarang kemungkinan perubahan cuaca.
- JPNT bekerjasama agensi untuk memastikan sekolah bersedia hadapi perubahan cuaca.
- SOP telah dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah ketika suhu mencecah paras membimbangkan.
- Jika cuaca terlalu panas, pelajar akan beralih kepada Belajar Dari Rumah secara dalam talian.
Langkah itu bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Pengarah JPNT, Kamsah@Kamal Mohamed berkata semua Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah juga telah dimaklumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sekiranya suhu mencecah paras yang membimbangkan.
Jelasnya setakat ini situasi masih terkawal.
“Sekiranya suhu melebihi paras tertentu, sekolah akan mengambil langkah sewajarnya, sama ada menghentikan aktiviti luar atau menunggu peringatan daripada pihak meteorologi.
“Paling penting, jika cuaca terlalu panas, kita akan mengambil langkah Belajar Dari Rumah (BDL) iaitu anak-anak akan belajar secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Syukur 3.0 di sini, yang turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.
Menerusi program itu 200 pelajar asnaf daripada 15 buah sekolah yang mewakili 100 keluarga menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan dapur.
Kebanyakan penerima telah kematian bapa dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Sementara itu, Pengerusi Program Syukur 3.0, Helmi Rasli berkata edisi pada kali ini semakin luas.
“Tahun lepas kita hanya mampu untuk 40 keluarga dan tahun ini kita dapat untuk menyantuni lebih kurang 100 keluarga,” katanya.