KUALA LUMPUR, 15 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik inisiatif Peruntukan Deeming dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai langkah awal memperkukuh tadbir urus platform digital dan meningkatkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, ekosistem digital masa kini menuntut pendekatan pengawalseliaan lebih responsif terhadap ancaman seperti jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyebaran kandungan ekstremisme serta penyalahgunaan platform digital.
"Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen bersama untuk melindungi anak bangsa Malaysia dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan.
"PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan agensi lain melalui pendekatan keseluruhan kerajaan bagi memastikan mekanisme baharu yang sedang dimuktamadkan dapat meningkatkan keberkesanan siasatan, memperkukuh perkongsian maklumat serta mempercepatkan tindakan teradap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang digital," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Peruntukan Deeming bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih teratur tanpa formaliti pendaftaran yang rumit.
"Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, berkuat kuasa 1 Januari 2026," tambah kenyataan itu.
PDRM kekal komited melaksanakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang seasa dan meningkatkan kesiapsiagaan dalam bagi memastikan kerangka keselamatan digital yang bakal diperkenalkan dapat disokong dengan berkesan.
Agensi penguat kuasa itu juga yakin pelaksanaan rangka kerja baharu tersebut akan meningkatkan perlindungan kepada rakyat, memantapkan integriti ruang digital negara dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan serta penyedia platform digital.
"Langkah ini turut menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan generasi masa hadapan terutama kanak-kanak dan keluarga terjamin dalam landskap siber yang semakin mencabar," menurut kenyataan itu.