fb fb fb fb fb

PDRM sambut baik inisiatif BUDI95

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang akan berkuat kuasa pada 27 September ini khusus untuk warga PDRM.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat serta meringankan beban kos sara hidup.

“PDRM percaya pelaksanaan BUDI95 memberi implikasi positif kepada warga PDRM yang bertugas di seluruh pelosok negara.

"Pengurangan kos bahan api secara langsung dapat meningkatkan motivasi dan daya tahan anggota dalam melaksanakan amanah demi menjamin ketenteraman serta keselamatan rakyat", maklumnya.

Beliau turut memuji pendekatan inovatif penggunaan MyKad di stesen minyak sebagai mekanisme pengesahan kelayakan, yang disifatkan selaras dengan usaha pendigitalan negara.

Katanya, langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tadbir urus subsidi yang telus, cekap dan lestari.

Tambah beliau,PDRM komited untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan agenda nasional, memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara serta mengangkat martabat Malaysia di persada dunia.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September diikuti 30 September bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD