fb fb fb fb fb

PBB gesa Trump batal sekatan terhadap ICC

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague/ Foto AFP

GENEVA, 7 Februari-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump agar membatalkan keputusannya mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) menyatakan sokongan penuh terhadap kebebasan peranan ICC dalam semua kes yang berada dalam bidang kuasanya.

Jurucakap OHCHR, Ravina Shamdasani, berkata mahkamah berkenaan merupakan komponen penting dalam infrastruktur hak asasi manusia global.

"Mahkamah ini memainkan peranan asas dalam memastikan keadilan dan akauntabiliti bagi jenayah paling serius, sama ada di Ukraine, Sudan, Myanmar, wilayah Palestin yang diduduki, atau mana-mana tempat lain," katanya kepada AFP menerusi e-mel.

Terdahulu,Trump telah mengarahkan pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap pegawai serta kakitangan ICC, termasuk ahli keluarga mereka dan sesiapa yang membantu siasatan mahkamah tersebut.

"Kami amat kesal dengan sekatan yang diumumkan terhadap kakitangan mahkamah dan menggesa agar tindakan ini dibatalkan," kata Shamdasani.

"Mahkamah perlu diberikan kebebasan penuh untuk menjalankan tugasnya secara bebas terutama dalam kes di mana sesebuah negara tidak bersedia atau tidak mampu menjalankan siasatan atau pendakwaan secara tulen.

"Kedaulatan undang-undang adalah asas kepada keamanan dan keselamatan kolektif kita.

"Mewujudkan akauntabiliti secara global menjadikan dunia tempat yang lebih selamat untuk semua," tambahnya.

Pada Khamis lepas, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan ia melancarkan siasatan tidak berasas menyasarkan AS dan sekutunya, Israel.

Perintah itu menakrifkan bahawa mahkamah di The Hague menyalahgunakan kuasanya dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD