KUANTAN, 16 november- Kerajaan negeri Pahang menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berjaya membongkar kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit secara haram di Bukit Goh, Kuantan Khamis lalu.
Dalam operasi dijalankan itu, SPRM turut menahan tiga individu iaitu dua pemilik syarikat dan seorang pegawai sebuah agensi bawah kerajaan negeri disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti berkenaan sejak 2022.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap kes tersebut yang disifatkan sebagai mencuri hasil kerajaan negeri termasuk membawa pesalah ke muka pengadilan.
"Memang dari dulu lagi kita bagi kerjasama malahan mereka yang melakukan kesalahan mencuri dan apa-apa aktiviti haram bukan sahaja diberi kompaun, kita juga bawa ke mahkamah.
"Itu menunjukkan perkara ini kita pandang serius. Dengan adanya SPRM lagi baik untuk kita meminimumkan atau menghapuskan ketirisan hasil. Ini melibatkan hasil, sekiranya berlaku kecurian sebegini kerajaan negeri kehilangan hasil dan merugikan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program perkahwinan beramai-ramai atau Anggun Suri melibatkan 10 pasangan pengantin yang diuruskan oleh Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang (UPWS) bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang di Dewan Atabara, Indera Mahkota di sini.
Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga suspek direman enam hari sehingga 19 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Sebanyak lima jentera iaitu empat unit jengkaut dan sebuah jentolak, tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu untuk tindakan sitaan mengikut Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965 hasil pemeriksaan SPRM di lokasi penyimpanan hasil galian di Jabor, Terengganu.
Selain itu, lapan unit lori pengangkut turut disita mengikut Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri mengutip hasil melebihi RM1 bilion bagi tiga tahun berturut-turut dengan kutipan hasil terkini berjumlah RM1.06 bilion.
Kutipan hasil itu juga akan dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk program kebajikan termasuk pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada pelbagai pihak termasuk pelajar, pelajar tahfiz, nelayan, petani, mahasiswa, anak yatim, ibu tunggal, jemaah haji dan mualaf.