KUALA LUMPUR, 14 Disember - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengarahkan platform X memadam hantaran berkaitan kecaman terhadapnya.
Beliau berkata, suruhanjaya itu bebas untuk membuat apa-apa tindakan tanpa perlu merujuk kepada beliau.
“Saya tidak terkesan dengan hantaran ini, saya tiada masalah dia hendak cakap macam itu dan saya dan pejabat saya tiada membuat laporan kepada MCMC berhubung isu tersebut, jadi ada yang menuduh seolah-olah saya (buat laporan), saya sahkan saya tidak tahu pun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Setem Khas Palestin Merdeka oleh Pos Malaysia, di sini.
Fahmi mengulas laporan sebuah portal yang menyatakan kerajaan didakwa melapor kepada platform X, untuk meminta hantaran yang mengecam seorang menteri diturunkan.
Tambah Fahmi, ketika ini kementeriannya lebih memfokuskan kepada isu yang lebih penting, antaranya berkaitan membanteras perjudian haram secara dalam talian, berita palsu serta isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau akan turut mengadakan pertemuan dengan Google minggu hadapan untuk membincangkan isu berhubung kandungan lucah, yang boleh diakses menerusi laman penstriman Youtube, memandangkan beliau dapat banyak laporan berkaitan perkara tersebut.