ALOR SETAR, 9 Disember - Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko yang boleh memudaratkan keselamatan diri dan keluarga berikutan amaran berlakunya banjir gelombang kedua susulan luruan monsun yang dijangka berlaku hingga 11 Disember ini.
Berdasarkan kejadian yang berlaku sebelum ini khususnya di kawasan Kedah Utara, terdapat kawasan yang tidak dilanda banjir pada gelombang banjir pertama, kedua dan ketiga namun dilanda banjir pada gelombang ke empat.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, berdasarkan situasi tersebut pihaknya tidak dapat menjangkakan kawasan-kawasan yang berkemungkinan dilanda banjir.
Orang ramai juga diminta supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca ketika ini.
"Jangan menjangkakan bahawa rumah mereka tidak dinaiki air sebab pengalaman kita sebanyak empat kali pada tahun ini kita meminta penduduk untuk berpindah. Bagaimanapun mereka tidak berpindah kerana menjangkakan rumah mereka tidak dinaiki air tetapi apabila tengah malam air terlalu deras turun bawah.
"Jadi ada rumah-rumah yang sebelum ni tak pernah dinaiki air dinaiki air dan juga jalan-jalan untuk akses ke rumah itu telah terputus dan juga banyak halanganlah, jadi pada waktu malam ini penyelamatan kita agak berisiko," kata Aminuddin, di sini sambil menambah pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan hingga Rabu ini di tujuh negeri, membabitkan negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.