fb fb fb fb fb

Orang ramai dipelawa sertai perarakan perpaduan di Ibu Kota

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Februari - Orang ramai dipelawa menyertai acara perarakan perpaduan pada 24 Februari ini sempena program Unity Parade Kuala Lumpur 2024.

Acara perarakan itu akan bermula pada 5 petang di Dataran Merdeka membabitkan lima hentian utama iaitu Pasar Seni, pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB, Jalan Alor, pusat beli-belah Lot 10 serta Berjaya Times Square dan berakhir di Lalaport BBCC.

Perarakan itu adalah antara pengisian program Unity Parade Kuala Lumpur 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula 24 Februari, anjuran Unity Parade dan Kuala Lumpur Society dengan kerjasama rakan strategik Kementerian Perpaduan Negara, Kuala Lumpur Prosperity Walk dan World Dragon and Lion Dance Extravaganza.

Pengarah projek itu Norrizan Abd Majid berkata acara itu akan menampilkan pelbagai kumpulan agama, etnik, kebudayaan, kesenian dan muzik dengan berarak di sepanjang laluan sejauh 3.6 kilometer di ibu kota.

“Acara ini tercetus selepas melihat kejayaan sebuah komuniti tempatan menganjurkan Kuala Lumpur Prosperity Walk bagi meraikan sambutan Chap Goh Mei pada 2022 dan 2023.

“Perarakan ini akan menampilkan pelbagai keunikan elemen seni dan budaya masing-masing seperti persembahan kebudayaan, aktiviti dan pakaian tradisional serta kenderaan berhias,” katanya pada sidang media acara tersebut, semalam.

Norrizan berkata acara itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan rakyat Malaysia turut memainkan peranan ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu.

“Acara ini bukan sahaja dapat memupuk dan mengukuhkan semangat perpaduan, membentuk identiti nasional, membina rakyat yang patriotik dan demokratik tetapi juga boleh mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat setempat.

“… bahkan penyertaan aktif daripada pelbagai kaum ini juga sudah pasti akan membawa kepada masyarakat yang lebih bersemangat dan harmoni,” katanya.

Beliau berharap Unity Parade Kuala Lumpur 2024 yang akan menampilkan lebih 10 aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan antaranya Unity Parade Kuala Lumpur Photo Competition dan Unity Parade Village sepanjang dua hari program itu akan dijadikan acara tahunan bagi mempromosi sektor pelancongan di ibu kota.

Bagi mereka yang berminat mengenai acara yang akan dijalankan atau ingin menyertai acara perarakan itu boleh mendaftar secara percuma di laman sesawang rasmi di unityparade.my.- BERNAMA

TETITIA YUSOFF