
IPOH, 24 Mac – Sebanyak 14,455 kenderaan di seluruh negara diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat semalam, sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri 2026 (Op HRA 2026), daripada 172,479 kenderaan yang diperiksa.
- JPJ menyita 289 kenderaan, mengeluarkan 1,651 slip pemeriksaan teknikal untuk bas dan 33,402 notis di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Tiga kesalahan tertinggi: tidak memakai tali pinggang keledar (761), membawa lebih muatan (353) dan melanggar lampu merah (317).
- JPJ menggunakan enam dron berteknologi tinggi; kesalahan direkod untuk temu siasat, bukan saman segera, dan penguatkuasaan akan diteruskan secara tegas.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu sebanyak 289 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.
Manakala 1,651 slip pemeriksaan teknikal turut dikeluarkan melibatkan bas persiaran dan bas ekspres.
Dalam tempoh sama, sebanyak 33,402 notis dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pelaksanaan operasi ini telah memberi tumpuan kepada kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Berdasarkan statistik semasa, tiga kesalahan tertinggi yang direkodkan iaitu tidak memakai tali pinggang keledar sebanyak 761 kes, diikuti membawa lebih muatan 353 kes dan tidak mematuhi lampu merah sebanyak 317 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melaksanakan pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini.
Menurutnya, sepanjang operasi itu JPJ turut menggunakan enam dron berteknologi tinggi di beberapa lokasi strategik bagi mengesan kesalahan lalu lintas termasuk pemanduan berbahaya.
Katanya, kesalahan yang dikesan tidak dikenakan saman serta-merta, sebaliknya notis temu siasat akan dikeluarkan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, JPJ akan terus mempergiat penguatkuasaan secara tegas dan berteknologi tinggi.
Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mengamalkan pemanduan berhemah sepanjang musim perayaan.