fb fb fb fb fb

Operasi SAR dua pendaki wanita di Gunung Suku disambung esok

IPOH, 18 Mei- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, Ahad lepas disambung semula esok.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata operasi yang memasuki hari keempat berkenaan ditangguhkan pada pukul 6.00 petang tadi dan akan disambung semula pada pukul 8.00 pagi esok.

"Gerak kerja hari ini dipecahkan kepada dua pasukan iaitu pasukan satu memperluas operasi pencarian ke kawasan laluan air melalui terowong laluan air melepasi jalan raya utama dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

"Bantuan jentera daripada syarikat konsesi Belati Wangsa juga digunakan bagi menggali tanah dan serpihan kayu balak yang menutupi terowong laluan air berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

(Foto fail)

Beliau berkata pasukan kedua pula meneruskan pencarian di laluan kepala air bermula dari bawah ke atas dan lebih memfokuskan kepada kawasan longgokan batang buluh dan kayu balak.

Sejak Isnin, pasukan SAR menemukan sebahagian dan cebisan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita berkenaan.

Kedua-dua wanita itu yang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, berasal dari Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada pukul 5.00 pagi, Ahad lepas.

Media Baharu