fb fb fb fb fb

Kerajaan harap SOP dan sembilan garis panduan COVID-19 diamalkan sebaik mungkin

(Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempengerusikan mesyuarat terakhir Menteri Kuartet COVID-19)

KUALA LUMPUR, 18 Mei - Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula sekatan besar-besaran, namun berharap pelaksanaan satu prosedur operasi standard (SOP) dan sembilan garis panduan yang diguna pakai ketika ini diamalkan sebaik mungkin.

Jelas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, matlamat utama kerajaan adalah bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan harian secara hampir normal serta belajar hidup bersama virus COVID-19.

"Negara kini sudah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik, 181 SOP yang diguna pakai dan kini hanya tinggal satu SOP asas dan sembilan garis panduan, semua sektor telah dibuka, setiap perayaan telah dibenarkan untuk disambut, pelitup muka juga sudah tidak diwajibkan di tempat terbuka, malah, check-in menggunakan MySejahtera juga sudah tidak lagi menjadi kewajipan," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Menteri Kuartet COVID-19 selepas kali pertama diadakan pada 14 September tahun lalu, di sini hari ini.

Ia turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.


(Mesyuarat terakhir Menteri Kuartet COVID-19 yang berlangsung di ibu negara)

Tambah Hishammuddin, bagi memastikan usaha 'Reopening Safely' atau pembukaan semula yang selamat dapat dijayakan, ia bukan perkara yang mudah kerana cabarannya besar sekali gus memerlukan banyak usaha dilaksanakan membabitkan pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta.

Di peringkat awal, Kuartet memberi tumpuan kepada usaha pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat dan selamat seterusnya membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran kembali diadakan menerusi kaedah bersemuka di sekolah.

Pada masa sama, Kuartet juga memperhalusi kaedah yang sesuai dan selamat untuk merancakkan semula sektor ekonomi serta membuka semula secara berperingkat dan selamat pelbagai lagi sektor lain termasuk pelancongan, pekerjaan, industri dan pembuatan serta sukan.

Mesyuarat tersebut merupakan pendekatan utama dalam usaha kerajaan membuka semula negara secara berperingkat dan selamat.

Media Baharu