fb fb fb fb fb

Operasi helikopter ambulans, jimat kos kerajaan RM15 juta

(Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (kanan) ketika ditemui
pemberita hari ini. Hadir sama Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, tiga kiri)

SHAH ALAM, 15 April- Helikopter ambulans ‘Emergency Medical Air Rescue Services’ (EMARS) pertama milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memulakan operasi pada 1 Mei ini.

Pengoperasiannya dijangka menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM15 juta, setahun.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, sebelum ini, kerajaan membelanjakan kira-kira RM20 juta setahun bagi menggunakan khidmat pakar swasta termasuk pasukan doktor udara ke kawasan pedalaman.

Ambulans udara tersebut merupakan helikopter bomba sedia ada jenis Agusta AW109E yang diubah suai dan kini dilengkapi peralatan perubatan kecemasan.

"Kita akan sentiasa cuba memperbaiki khidmat EMARS ini dan sekarang untuk mana-mana kes kecemasan mulai 1 Mei termasuk 'organ transplants', kemalangan boleh telefon 999 dan talian ini akan terus sambung ke bomba, ke jabatan bersama Kementerian Kesihatan," katanya.

(Pelancaran EMARS dan Kempen Keselamatan Musim Perayaan 2023/Foto Bernama)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan EMARS dan Kempen Keselamatan Musim Perayaan 2023 di pekarangan Pusat Beli-Belah AEON Shah Alam, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Helikopter yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Bomba Wilayah Tengah, Subang itu boleh memuatkan tujuh penumpang termasuk juruterbang, pegawai perubatan dan dua mangsa pada satu-satu masa.

Setakat ini, helikopter hanya akan digerakkan di seluruh kawasan di Semenanjung kerana ia melibatkan sebuah helikopter.

Media Baharu