Op Tiris 4.0 diperkasa, kerajaan perketat kawalan pengedaran barang kawalan

Datuk Armizan Mohd Ali, memantau stesen minyak di Rantau Panjang hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April Kerajaan memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran barang kawalan menerusi pelaksanaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi mengekang aktiviti ketirisan susulan ketidaktentuan global ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Tiris 4.0 diperkasakan sejak 16 Mac, pendekatan bersepadu melibatkan banyak agensi untuk banteras ketirisan dan penyeludupan.
  • Operasi fokus pada tiga kluster utama: daratan, perairan dan sempadan bagi pemantauan menyeluruh.
  • Pemantauan harian melalui dashboard rantaian pengedaran dari kilang penapisan hingga stesen minyak dan fasiliti penyimpanan.
  • KPDN perhebatkan gerakan KITA GEMPUR; orang ramai digalakkan adukan maklumat, jangan sebarkan berita palsu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu diambil selaras usaha memastikan keterjaminan bekalan petroleum negara kekal stabil, di samping membanteras aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan.

Menurut beliau, selain memastikan kestabilan bekalan, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kawalan pengedaran berikutan risiko ketirisan yang semakin meningkat susulan konflik di Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga global.

“Langkah memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran ini amat penting bagi membanteras ketirisan bekalan dalam pelbagai bentuk termasuk penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan.

“Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) telah diaktifkan serta-merta pada 11 Mac lalu dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Op Tiris 4.0 yang berkuat kuasa 16 Mac lalu merupakan penambahbaikan kepada Op Tiris 3.0 dengan pendekatan lebih bersepadu melibatkan kerjasama merentasi pelbagai agensi penguatkuasaan dan kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Operasi berkenaan meliputi tiga kluster utama iaitu daratan, perairan dan sempadan bagi memperkukuh pemantauan secara menyeluruh.

Selain itu, kawalan turut diperkasa menerusi pemantauan harian menggunakan dashboard pangkalan data rantaian pengedaran yang melibatkan keseluruhan ekosistem daripada kilang penapisan hingga ke peringkat peruncitan termasuk fasiliti penyimpanan, stesen minyak serta pengguna industri.

Dalam masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memperhebatkan gerakan KITA GEMPUR sebagai pendekatan ‘whole of nation’ dalam membanteras manipulasi dan ketirisan barang kawalan.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan, namun diingatkan supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.