fb fb fb fb fb

Op Selamat 17 : PDRM tingkat penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 2 Februari - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia giat meningkatkan penguatkuasaan Op Selamat 17 bagi memastikan kadar kemalangan terus mencatatkan penurunan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superitendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pendekatan penguatkuasaan menyeluruh digunakan sepanjang musim perayaan kali ini ekoran jumlah kenderaan yang meningkat sebanyak 17.5 peratus berbanding hari biasa.

Jelasnya, penguatkuasaan menyeluruh itu penting kerana terdapat segelintir pengguna jalan raya yang masih tegar melakukan kesalahan terutama memandu melebihi had laju.

Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga digerakkan terutama di rumah-rumah yang ditinggalkan kosong semasa musim perayaan bagi mengelakkan kes pecah rumah.

"Gunakan pakej Op Selamat ini untuk memaklumkan pada polis berdekatan yang kita hendak tinggalkan rumah. Pemantauan akan dilakukan oleh JPJKK bersama URB akan memantau rumah kita. Jadi, apabila kita berada di jalan raya akan dipantau oleh petugas trafik di lebuhraya, jalan negeri dan jalan persekutuan. Jadi, tentu akan beri kerjasama dan pandu lah secara berhemah semasa Op selamat ini.

"Konsep kita hendak kurangkan kadar kemalangan jalan raya dan pada masa yang sama memastikan rumah yang kita tinggalkan selamat. Itu lah pendekatan yang kita buat dalam konteks Op Selamat", katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor; Datuk Arjunaidi Mohamed dalam kenyataannya memaklumkan, kes kemalangan di Selangor mencatatkan penurunan sebanyak 29.5 peratus sepanjang empat hari Op Selamat 17 diadakan.

Kemalangan maut juga mencatatkan penurunan sebanyak 8 kes berbanding 14 kes bagi tempoh sama semasa Op Selamat 16.

Op Selamat 17 berlangsung selama 10 hari bermula 28 Januari lalu hinga 6 Februari ini.

Media Baharu