NIBONG TEBAL, 2 Februari - Lebih 11 hektar daripada kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram yang terbakar sejak 12 Januari lepas, akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata operasi pemadaman berjaya dilengkapkan semalam.
Katanya, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama semua pihak.
"Terima kasih kepada semua agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dalam misi pemadaman kebakaran terbabit," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang akan terus memantau kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh berkata JAS juga membuat pemantauan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram.
Ini bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat untuk penduduk pulang semula ke rumah mereka.
Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang pada 12 Januari lepas.
Penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.