fb fb fb fb fb

Op Selamat 17: 1,420 kemalangan pada empat hari pertama di Selangor


SHAH ALAM, 2 Februari
- Sebanyak 1,420 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Selangor dalam Op Selamat 17 sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2022 yang bermula pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata daripada jumlah itu, 219 kemalangan berlaku di lebuh raya, 96 di jalan persekutuan, 182 di jalan negeri, 825 di jalan bandaran dan 98 di lain-lain jalan.

"Statistik ini menunjukkan penurunan sebanyak 634 kes yang mana pada Op Selamat 16 Tahun Baharu Cina 2020, sebanyak 2,054 kemalangan direkodkan bagi tempoh yang sama.

"Bagi kes kemalangan maut pula, sebanyak lapan kes direkodkan setakat ini yang kesemuanya membabitkan penunggang motosikal. Jumlah ini juga menunjukkan penurunan sebanyak enam kes yang mana Op Selamat 16 merekodkan 14 kematian membabitkan 11 penunggang motosikal dan tiga pejalan kaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arjunaidi turut berkata setakat ini, sebanyak 11,464 saman membabitkan enam jenis kesalahan utama juga direkodkan.

Antara kesalahan utama berkenaan adalah memandu melebihi had laju (10,879 saman); tidak patuh lampu isyarat (318); menggunakan alat komunikasi ketika memandu (236); memotong barisan (27); memotong garisan berkembar (3) dan memandu di lorong kecemasan (1).

Katanya, Polis Selangor melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti juga menggerakkan elemen-elemen seperti Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan-kawasan perumahan yang ditinggalkan sempena musim perayaan ini dan sehingga kini, sebanyak 2,479 rondaan sudah dilakukan.

"Selain itu, pihak polis juga sudah menerima sebanyak 41 permohonan Borang Balik Kampung yang diisi melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan sebanyak 228 permohonan melalui Borang Balik Kampung yang diisi di balai.

"Setakat hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian kes pecah rumah yang ditinggalkan semasa balik kampung," katanya.

Media Baharu