fb fb fb fb fb

Op HRA: JPJ Kedah keluar lima notis kompaun terhadap pemandu bas

Foto RTM

JITRA, 26 Mac- Lima notis kompaun dikeluarkan terhadap tiga pemandu bas ekspres pada hari pertama Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Kedah, Isnin lalu.

Antara kesalahan dilakukan adalah memotong di barisan berkembar dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata hasil penyamaran yang dilakukan oleh anggota JPJ, pemandu sebuah bas ekspres berusia 29 tahun yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Sungai Petani didapati menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.
 
Dalam satu lagi operasi pada pukul 11.45 malam, pemandu pertama sebuah lagi bas ekspres berusia 34 tahun yang dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kelantan didapati memotong di barisan berkembar dan mengabai isyarat lalu lintas.
 
Manakala pemandu kedua bas yang sama berusia 27 tahun pula didapati menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan dan memotong di barisan berkembar pada pukul 4.00 pagi.
 
"Kita telah melaksanakan pemeriksaan di 19 depo dan dua terminal bas. Ini kita laksanakan bermula 17 Mac hingga 23 Mac hari itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemantauan sempena Op HRA 2025 di Plaza Tol Jitra.
 
Op HRA 2025 di Kedah melibatkan 271 anggota JPJ yang akan bertugas sepanjang tempoh 14 hari operasi sehingga 8 April ini.
 
Ia bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya, disamping usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
 
Jelas Stien Van Lutam, pihaknya turut memberi fokus utama di tiga lokasi hotspot di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim yang mencatatkan kadar kemalangan yang tinggi berbanding daerah lain.                           
 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM