
KOTA BHARU, 20 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah merakamkan sebanyak 2,384 kesalahan pengguna jalan raya dengan menggunakan dron dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026.
- Fokus operasi kepada empat kesalahan utama yang menyebabkan kemalangan: potong garisan berkembar, langgar lampu isyarat, potong barisan, guna lorong kecemasan.
- Penggunaan dron membolehkan pemantauan trafik lebih menyeluruh, tepat dan berkesan serta mengesan kesalahan sukar dikesan melalui pemantauan darat.
- Pesalah yang dirakam oleh dron akan dihantar notis temu siasat sebagai tindakan penguatkuasaan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan dan dirakam akan dihantar notis temu siasat.
Beliau berkata kesalahan yang difokuskan membabitkan empat kesalahan utama yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
Kesalahan tersebut membabitkan memotong di garisan berkembar sebanyak 715 kes, tidak mematuhi lampu isyarat (627 kes), memotong barisan atau memotong sebelah kiri (539 kes) dan menggunakan lorong kecemasan (503 kes).
“Kita telah merakam sebanyak 2,384 kesalahan yang akan dikenakan notis temu siasat kepada pesalah yang terlibat. Fokus utama penggunaan dron adalah bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan undang-undang”, katanya.
Beliau berkata, penggunaan dron oleh JPJ bukan untuk mencari salah pemandu kenderaan, sebaliknya mahu memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
Penggunaan dron membolehkan pemantauan trafik dilaksanakan secara lebih menyeluruh, tepat dan berkesan, termasuk mengesan kesalahan yang sukar dikesan melalui pemantauan konvensional di darat.
“Dron yang digunakan JPJ dilengkapi dengan spesifikasi teknikal berkeupayaan tinggi termasuk keupayaan zoom sehingga 200 kali dan membolehkan pengesanan nombor pendaftaran kenderaan dilakukan dengan jelas walaupun dari jarak jauh”, jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ops HRA 2026 di hadapan Akademi JPJ Wilayah Timur, Kota Bharu, malam tadi.
Pada masa sama, Datuk Muhammad Kifli berkata, JPJ mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan khusus di lokasi panas kemalangan dan kesalahan trafik di seluruh negara.
Beliau berkata, JPJ telah mengenal pasti 288 lokasi panas seluruh negara berdasarkan analisis data kemalangan dan kesalahan lalu lintas melibatkan laluan utama, lebuh raya serta jalan persekutuan yang mencatatkan kadar risiko tinggi.
Daripada jumlah tersebut, tiga negeri yang mencatatkan angka tertinggi antaranya Kelantan dengan 53 lokasi, Sarawak (50) dan Perak (34).