KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Seramai 1,871 individu ditahan dalam Op Dadu Khas bertujuan membanteras judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen yang dijalankan di seluruh negara pada 22 September hingga 5 Oktober lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam tempoh sama sebanyak 1,785 serbuan dijalankan di seluruh negara bagi mengekang aktiviti jenayah itu.
Menerusi operasi selama dua minggu itu yang melibatkan operasi judi dalam talian, polis telah merampas wang tunai, kelengkapan komputer dan telefon bimbit dianggarkan bernilai lebih RM500,000 manakala bagi loteri awam tanpa lesen bernilai lebih RM600,000.
Beliau berkata 1,559 lelaki dan 312 wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 9(1) akta sama.
(Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain
bercakap dalam sidang media khas di Ibu Negara)
"Sehingga 5 Oktober lalu juga sebanyak 382 kertas siasatan membabitkan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen berjaya diselesaikan dan dituduh di mahkamah, manakala 1,362 kertas siasatan masih dalam siasatan sementara 43 kertas siasatan dikategorikan tiada tindakan lanjut," katanya.