ALOR SETAR, 16 Disember- Bilangan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kedah pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.
Seramai 58,646 OKU berdaftar di bawah tujuh kategori ketidakupayaan berdasarkan janaan Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU) direkodkan sehingga Oktober tahun ini berbanding 52,699 OKU pada tahun lalu.
Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff bertitah, ia hasil pemerkasaan kempen pendaftaran OKU yang dilaksanakan oleh agensi terlibat.
"Kempen ini perlu diperkasakan lagi. Masih banyak yang harus dan sedang dikerjakan. Program-program yang dilaksanakan khas untuk mencari dan mencungkil bakat yang melimpah ruah dalam kalangan OKU negeri Kedah.
"(Antaranya) Karnival Sukan Inspire OKU Aktif yang dilancarkan pada Oktober 2022 bertujuan menghasilkan lebih ramai atlet paralimpik dari Kedah," titahnya pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah tahun 2023 di sini.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.