NRES perkukuh sistem pemantauan depani El Nino

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh sistem pemantauan serta ramalan fenomena El Nino bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi dapat dilaksanakan lebih awal dalam menangani kesan cuaca panas terhadap negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MET Malaysia melakukan pemantauan berkala dan mengemas kini maklumat berkaitan bencana serta perubahan cuaca.
  • Laporan disediakan: status cuaca panas, hari tanpa hujan, pemantauan kemarau dan tinjauan cuaca jangka panjang hingga enam bulan.
  • Pendekatan bersepadu berasaskan data saintifik membolehkan tindakan tersusun mengurangkan impak kepada sumber air, keselamatan makanan dan kesihatan awam.
  • MET Malaysia memperkasa sistem amaran awal 24 jam untuk menyalurkan maklumat penting segera kepada agensi berkaitan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sentiasa melaksanakan pemantauan berkala dengan mengemas kini perincian maklumat berkaitan bencana dan perubahan cuaca.

“MET Malaysia turut menyediakan laporan status cuaca panas, laporan hari tanpa hujan, pemantauan kemarau serta tinjauan cuaca jangka panjang sehingga tempoh enam bulan akan datang.

“Pendekatan bersepadu berasaskan data saintifik itu membolehkan kerajaan mengambil tindakan lebih tersusun bagi mengurangkan impak fenomena El Nino, khususnya terhadap sumber air, keselamatan makanan dan kesihatan awam.

“Langkah ini membolehkan kerajaan melaksanakan langkah mitigasi dan adaptasi secara lebih awal dan terselaras, bukan sekadar berdasarkan maklumat di media sosial, tetapi melalui maklumat saintifik bagi mengurangkan kesan fenomena El Nino,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Michael Mujah Lihan mengenai langkah mitigasi dan adaptasi yang dirancang kementerian bagi menghadapi impak fenomena El Nino berintensiti kuat sehingga awal 2027, pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, MET Malaysia turut memperkasa sistem amaran awal cuaca dan iklim yang beroperasi 24 jam sehari bagi memastikan maklumat penting dapat disalurkan segera kepada agensi berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.