fb fb fb fb fb

NRECC sasar 95 peratus RSTP di bandar utama menjelang 2030

(FOTO FB NRECC)

BATU GAJAH, 7 Oktober - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menetapkan sasaran 95 peratus perkhidmatan Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) di bandar-bandar utama negara ini, menjelang 2030.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia selaras dasar membangunkan sektor pembetungan negara selari dengan pembangunan berterusan dan terancang.

Katanya, kerajaan komited untuk meningkatkan perkhidmatan pembetungan di negara ini dengan membangunkan loji rawatan moden.

(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad)

"Pembinaan loji ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah berkaitan sistem rawatan kumbahan sedia ada yang bersaiz kecil dan tidak efisyen, malah membolehkan penyambungan ke sistem rangkaian paip pembetungan daripada kawasan-kawasan pembangunan baharu.

"Ini sekali gus mampu mengurangkan potensi pencemaran sungai dan menjamin kelestarian sumber air," katanya pada sidang media selepas merasmikan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Papan 2, di sini.

Sebanyak RM453 juta diperuntukkan bagi membina loji tersebut yang merangkumi kawasan tadahan seluas 195 kilometer persegi melibatkan tiga kawasan utama iaitu bandar raya Ipoh, Gunung Rapat dan Menglembu.

Projek tersebut mampu memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 penduduk dan mampu menampung sehingga 900,000 penduduk.

Sebelum ini, terdapat dua loji yang telah menggunakan teknologi yang sama dan telah beroperasi terletak di Pulau Pangkor dan Assam Kumbang di Taiping.

Media Baharu