
KUALA LUMPUR, 7 April – Nilai integriti diterapkan di dalam semua mata pelajaran di sekolah, kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.
- Matlamat usaha ialah membangunkan karakter murid secara menyeluruh.
- Nilai integriti disisipkan dalam subjek sedia ada, contohnya Pendidikan Islam dan buku sastera Bahasa Inggeris.
- Aktiviti kokurikulum menggunakan pendekatan digital kreatif dan inovatif bagi menyemai nilai integriti.
- Kurikulum Persekolahan 2027 akan memperkasa pelaksanaan usaha pendidikan nilai integriti.
Langkah itu bertujuan memastikan usaha membangunkan karakter murid dapat dilaksana secara menyeluruh.
“Ia bukan mata pelajaran (subjek berasingan), sebaliknya nilai integriti diterapkan merentasi semua mata pelajaran sedia ada. Misalnya menerusi subjek Pendidikan Islam, murid belajar mengenai Siddiq, Amanah, Tabligh, Fatanah dan semua itu ada elemen integriti. Dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris pula melalui pembelajaran buku-buku sastera yang mempunyai elemen integriti,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Kemuncak “Kami Wira Anti Rasuah” Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Usaha menyemai nilai integriti dalam kalangan murid sekolah turut dilaksana melalui aktiviti kokurikulum dengan menekankan pendekatan digital lebih kreatif dan inovatif.
Kesemua usaha berkenaan akan diperkasa melalui pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
Dalam pada itu, mengenai majlis kemuncak tersebut, beliau memaklumkan, ia bertujuan menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Persembahan Video Kreatif “Kami Wira Antirasuah” anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).