KUALA LUMPUR, 9 Disember - Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan pakej di media sosial menawarkan perkhidmatan 'Nikah Dulu, Bayar Kemudian' yang giat dipromosikan di Thailand.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, mereka yang terjebak dengan perkhidmatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang bawah Enakmen Keluarga Islam.
"Cuma yang saya mahu tekankan disini cara itu tidak betul, apabila mana dia tawar seumpama itu, bermakna dia tawar rakyat Malaysia untuk melanggar undang-undang.
"Kita tidak boleh promosi untuk mengajak orang supaya melanggar undang-undang tersebut. Nikah memang sunnah, tetapi nikah itu datang dengan tanggungjawab," kata Dr Na’im.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Biasiswa Al-Falah Madani bawah Produk myWaqafPTPTN di Ibu Negara.
Jelasnya, Malaysia mempunyai undang-undang dan panduan perkahwinan serta poligami bagi menjaga maslahah serta mengelakkan daripada berlakunya penipuan.
Sebelum ini, tular mengenai pakej yang dipromosikan oleh penyedia perkhidmatan perkahwinan di Thailand yang menawarkan harga serendah RM2,000.