ALOR GAJAH, 3 Mac- Penglibatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) penting untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Setiausaha Politik Menteri Ekonomi, Che Zam Hamzah berkata kerjasama NGO dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memudahkan penduduk luar bandar khususnya warga emas untuk melakukan pendaftaran tersebut.
Justeru, beliau berharap lebih ramai NGO dapat berganding bahu untuk mempercepat urusan pendaftaran rakyat sebelum 31 Mac depan.
"Saya galakkan NGO untuk terus bergerak bukan hanya kakitangan kerajaan ataupun Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tapi orang ramai yang memberi inisiatif yang cukup baik. Jadi ajak NGO Melaka melakukan perkara yang sama adalah satu perkara yang baik dan saya juga akan gerak NGO di seluruh negara yang secara sukarela dan insha-Allah DOSM dengan kakitangan yang mereka ada akan membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pendaftaran PADU dan PEKA B40 di Felcra Ramuan China Kecil di sini.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui pada program tersebut memberi maklum balas yang positif.
"Sangat baik, sangat bagus dengan cara macam ini dapat dipermudahkan pendaftaran PADU, kadang-kadang macam orang-orang kampungkan dia tak faham dan susah nak daftar melalui telefon bimbit. Saya sendiri pun datang kerana fikirkan mudah, saya bawak sekali kad pengenalan isteri untuk daftar, jadi alhamdulillah, terima kasih," kata penduduk, Zaid Mohd Saman.
"Ya, memang bagus sebab boleh tolong ramai orangkan. Kita juga tolong orang tua-tua untuk mengisi, kita tolong apa yang mereka tidak boleh buat," kata penduduk, Low Ah Moi.
"Program ini sangat bagus, banyak prosedur dia, ikut langkah demi langkah,"kata penduduk, Subramaniam A/L Narayanan.
Sebelum ini media melaporkan, lebih 3.683 juta warganegara dan penduduk tetap di Malaysia telah mendaftar dalam PADU, setakat 21 Februari lalu.