fb fb fb fb fb

Nenek 87 tahun ditemui selamat selepas hilang 40 jam

SIK, 9 APRIL - 'Tok nak balik rumah, Tok sejuk...lapaq...Tak buka posa lagi ni….' rintih warga emas itu dalam loghat Utara sebaik sahaja ditemui selepas 40 jam hilang dalam operasi mencari dan menyelamat awal pagi tadi.

Saadiah Senawi atau lebih dikenali sebagai Tok Teh berusia 87 tahun ditemui pada pukul 3.35 pagi tadi di tepi sebatang Carok pada jarak kira-kira 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang tengah hari Khamis lalu.

Pengarah Briged Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada hari yang sama selepas Tok Teh dikatakan hilang 12.30 tengah hari pada Khamis.

“Mangsa ditemui selamat dan berada dalam keadaan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Namun, apa yang peliknya mangsa gagal dijejaki walaupun kawasan tempat mangsa ditemui itu pernah dilakukan beberapa kali usaha pencarian.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa diberikan selimut dan minuman sebelum dikejarkan ke hospital," katanya ketika dihubungi RTM di sini hari ini.

Mangsa dilaporkan stabil dan sedang menjalani pemeriksaan dan pemantauan lanjut di hospital daerah Sik.

Operasi SAR dianggotai pasukan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, RELA dan penduduk kampung.

(Tok Teh berusia 87 tahun ditemui pada pukul 3.35 pagi tadi di tepi sebatang Carok/FOTO  BSYJM)

Media Baharu