fb fb fb fb fb

NEGERIfm anjur program 'Ziarah Anak Seni'

SEREMBAN, 7 April- Menerusi program 'Ziarah Anak Seni', NEGERIfm mendekati penggiat seni yang merupakan anak jati dari Negeri Sembilan yang kini mengalami tahap kesihatan yang merosot.

NEGERIfm bersama-sama rakan strategik, KRS Travel Sdn Bhd mengambil kesempatan menziarahi pelakon komedi tanah air, Ebby Yus serta pelantun lagu Mimpi Yang Tak Sudah, Ibnor Riza disamping menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka sekali gus memberi sokongan moral.

Pelakon komedi terkenal tanah air, Ebby Yus yang menghidap penyakit buah pinggang dan jantung kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, penyakit yang dihidapinya bukan perkara baharu buat dirinya malah telah berlarutan sejak usia muda. 

"Saya sebenarnya diuji dengan penyakit ini bukan sekarang, daripada umur 20 lebih. Saya daripada umur 20-an sampai sekarang ini, hidup dengan penyakit. Bukan hidup dengan sakit tetapi hidup dengan penyakit.

"Daripada kencing manis, darah tinggi, jantung dah bedah apa semua, sampai sekarang ini buah pinggang pula, tapi syukur Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan untuk teruskan," katanya.

Sementara itu, penyanyi terkenal era 1980-an, Ibnor Riza, turut menzahirkan rasa syukur dengan kedatangan pihak NEGERIfm yang mengambil tahu situasi terkini tahap kesihatannya.

Beliau kini sedang menerima rawatan rutin di Hospital Tuanku Jaafar, akibat Kanser Limfoma tahap empat.

Kekangan kesihatan yang dialami, tidak membenarkan beliau untuk terus berkarya dan membuat persembahan di khalayak ramai.

(Foto fail)

"Saya sebenarnya, amat menghargai segala apa yang saya curahkan selama ini sebenarnya saya buat semuanya kerana Allah.

"Kerana saya manfaatkan bakat saya untuk saya mencari rezeki, tapi sekarang ini Allah sedang menguji saya.

"Saya harapkan sokongan daripada peminat saya agar dapat mendoakan saya terus sihat, dapat kembali bekerja," katanya.

Namun, kedua-dua seniman itu turut mengekalkan semangat dan bersikap positif untuk terus bertahan melawan penyakit tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Perniagaan KRS, Mohamad Sunaibari Mohd Khalil berkata, pihaknya sentiasa menghargai karya seniman anak jati Negeri Sembilan.

"Alhamdulillah kita telah memberikan sokongan moral dan juga sedikit sumbangan daripada pihak syarikat KRS Group.

"Sama-samalah kita mengimarahkan Ramadan ini bersama-sama dengan mereka yang kurang bernasib baik.

"Insya-Allah kita akan sentiasa membantu kalau ada lagi yang memerlukan.

"Seniman-seniman tidak kita lupakan, yang berasal dari Negeri Sembilan, insya-Allah kita akan membantu.

"Begitu juga dari segi bantuan lain, yang bukan sahaja kepada seniman tapi juga kepada anak-anak yatim dan juga kepada madrasah-madrasah Tahfiz," katanya.

Media Baharu