fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan gesa Selangor segera baik pulih Jalan Genting Peras

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun/BERNAMA

SEREMBAN, 11 Jun- Kerajaan Negeri Sembilan berharap agar kerajaan Selangor dapat memberi keutamaan untuk membaik pulih Jalan Genting Peras yang merupakan laluan menghubungkan daerah Hulu Langat-Jelebu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata laluan tersebut telah ditutup sejak tahun 2021 berikutan kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.

Ujarnya, kerja-kerja baik pulih laluan di bahagian Kuala Klawang telah siap sepenuhnya.

"Saya mungkin akan tulis surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari supaya diberi keutamaan untuk segera membaiki laluan ini. Jalan ini rosak sejak tahun 2021 sehingga sekarang masih belum dapat kita gunakan sepenuhnya.

Saya mohon kerjasama daripada Menteri Besar Selangor untuk kita pastikan supaya kerja baik pulih laluan ini disegerakan," kata Datuk Seri Aminuddin kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini.

Pada 19 Disember 2021, kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Genting Peras-Kuala Klawang hingga menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM