fb fb fb fb fb

Negara perlukan perbincangan lebih terbuka & segar pacu kemajuan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Negara memerlukan perbincangan yang lebih terbuka dan segar untuk bertukar pandangan sekali gus memerlukan perubahan demi kemajuan dan pembangunan negara. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sudah tiba masanya anjakan perlu dilaksana bagi mencari penyelesaian ke arah memacu kemajuan negara, berbanding hanya diheret dengan isu perkauman sempit semata-mata. 

"Negara kita sama negara lain, cabaran utama adalah untuk menggalakkan menuntut perubahan melalui wacana lebih terbuka dan segar. Apabila kita diheret dengan isu jumud, lapuk memecahbelahkan menyebabkan kita ketandusan idea.

"Kalau mahu maju, perlu bicara soal teknologi peralihan tenaga, mutu pendidikan, tetapi diheret dengan bicara perkauman sempit, agama sempit", katanya semasa berucap pada perasmian Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan “The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia” di ibu negara. 

Berucap dalam program sama, Perdana Menteri berkata birokrasi lama di Kementerian Pendidikan Tinggi yang membuat keputusan bagi pihak universiti harus dihentikan.

Katanya, pihak universiti perlu diberi ruang untuk menentukan keutamaan mereka.

Wacana tersebut mengumpulkan para akademik dan pakar terkemuka bagi berbincang dan berbahas dengan memfokuskan isu-isu kritikal yang dihadapi negara 100 tahun akan datang.

Ia sebagai panduan intelektual untuk mencorak imaginasi dan dasar strategik masa depan yang memberi pulangan kepada negara, seterusnya menghasilkan impak dan mengangkat kecemerlangan negara dan kemanusiaan dalam 100 tahun akan datang. 

Hadir sama pada majlis tersebut ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Di Raja Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

ROSLINA BINTI DIN