fb fb fb fb fb

Naikkan harga perkhidmatan walau ada kad 'fleet', tiga syarikat pengangkutan bakal didakwa

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar turun padang mengikuti Ops Kesan 2.0 di Pasar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, Melaka

BACHANG, 16 Jun- Tiga pengusaha syarikat pengangkutan dikenakan tindakan selepas dikesan gagal memberikan penjelasan kewajaran tindakan menaikkan harga perkhidmatan dalam Ops Kesan 2.0.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata ketiga-tiga kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah minggu depan untuk pertuduhan mengikut Seksyen 21 (5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Secara keseluruhan jelasnya KPDN Melaka telah membuat pemeriksaan terhadap 41 penerima manfaat Skim Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 bagi mengesan sebarang pergerakan harga.

"Setakat ini, sebanyak 41 syarikat bawah Ops Kesan masing-masing mempunyai kad 'fleet'. Jadi, kita ingin tegaskan bahawa sekiranya syarikat mempunyai kad tersebut agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Penggunaan kad 'fleet' itu adalah untuk mendapatkan harga yang pada asal kepada RM 2.15, setakat ini, kita sudah kesan tiga kes dan akan bawa ke mahkamah minggu depan untuk tujuan pertuduhan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ops Kesan 2.0 di Pasar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, Melaka.

Dalam pada itu sempena Aidiladha KPDN Melaka menugaskan penguatkuasaan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah barangan keperluan bagi memantau sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah khususnya untuk barang kawalan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE