KUALA LUMPUR, 16 Jun - Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan seorang ayah, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memaparkan 'Kisah Wira Kami' khususnya melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang boleh ditonton menerusi paltform YouTube.
Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi berkata, komitmen LTAT terhadap anggota ATM bukan sekadar menyediakan perlindungan sosial sahaja, malah memberikan pernghormatan tertinggi terhadap pengorbanan dan kisah kehidupan mereka.
"Di sebalik kegagahan, kegigihan, dan kesetiaan para wira terhadap negara, mereka juga mempunyai kisah kehidupan kekeluargaan yang penuh dengan kasih sayang dan tanggungjawab.
"Pengorbanan wira negara bukan sahaja untuk diingati, tetapi juga perlu dikongsikan dan diraikan oleh masyarakat umum.
"Kisah yang dipaparkan ini bukan sekadar cerita biasa, tetapi adalah penghargaan terhadap wira negara bagi memastikan legasi mereka terus kekal hingga generasi akan datang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Inisiatif bawah program 'Demi Wira Kami' itu menampilkan Nur Mahfuzah Mohd Shukri, yang kini berkhidmat di LTAT dan ayahnya, Pegawai Waran II (B) Mohd Shukri Abdullah yang pernah berkhidmat sebagai seorang anggota pasukan Komando ATM.
Menurutnya, kejayaan Mohd Shukri dalam menceburi bidang keusahawan adalah hasil daripada penglibatan awal beliau sebagai salah seorang pencarum.
"LTAT amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kehidupan wira-wira negara dan juga keluarga Mahfuzah yang bakal menyulam legasi ayahnya bersama aspirasi masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Ashraf berkata LTAT turut menawarkan pelbagai manfaat tambahan kepada pencarum dan keluarga dalam usaha menyediakan perlindungan sosial menyeluruh.
Ini termasuk sokongan pendidikan untuk pencarum LTAT anak-anak, peluang kerjaya kedua, pengurangan kos sara hidup serta bantuan kebajikan dan kewangan kepada anggota ATM, anak-anak, dan veteran yang memerlukan.
"LTAT komited dengan mandatnya untuk memastikan wang simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang supaya pencarum dapat menjalani kehidupan selesa bersama keluarga selepas bersara dari perkhidmatan," katanya.